Bian Republic, Simpang 3 Damai 15.9.24: Ahli-ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Tandek dinasihati menunaikan tanggungjawab dengan jujur.
Berucap ketika merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan PGRS Bahagian Tandek di Bian Republic, Simpang 3 Damai, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, Timbalan Presiden PGRS mengingatkan ahli-ahli PGRS hendaklah menunaikan tanggungjawab demi kebaikan Parti dan mereka sendiri.
“Buat kerja dengan betul supaya parti kuat. Tanggungjawab adalah Amanah. Jika tidak dilaksana macam mana jawab di akhirat nanti,” katanya yang juga Menteri Kewangan Negeri Sabah.
Menurutnya ahli-ahli Gagasan Rakyat adalah sama sahaja di sisi Tuhan.
“Kamu dengan saya [Menteri] sama saja, malahan yang ada sepuluh ringgit dan seorang lagi ada seratus ringgit, yang ada sepuluh ringgit perlu menjawab sepuluh soalan manakala yang punya seratus ringgit perlu menjawab seratus soalan di akhirat nanti,” katanya.
Masidi juga berkata ahli-ahli parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hendaklah berkerjasama antara satu dengan yang lain.
“ Kerjasama ini perlu kerana tiada istilah merebut ahli. Sesiapa saja yang dicalon, kita bekerjasama. kita pastikan calon GRS menang bergaya, “ katanya.
Menurut Masidi, Ketua PGRS Bahagian Tandek pemimpin yang baik dan bijak.
“ Dato’ Dr. Janathan Kandok orang baik. Beliau pernah menjawat jawatan tinggi dalam Kerajaan. Beliau juga orang berilmu dan berpendidikan tinggi,” katanya merujuk jawatan Pengarah Kastam Negeri Sabah yang disandangnya dahulu dan juga pencapaian akademi tertinggi Janathan.
Terdahulu Janathan dalam ucapan aluan menyatakan bahawa Hala Tuju Sabah Maju Jaya wajar dikembangkan ke kawasan N7 Tandek dari segi sektor pertanian, pelancongan dan Perindustrian.
Menurut Janathan PGRS Bahagian Tandek mempunyai strategi menerima kedatangan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“ Kita telah tetapkan visi dan agenda utama untuk terima Hala Tuju Sabah Maju Jaya supaya hala tuju kerajaan GRS dibawa pimpinan Datuk Haji Hajiji Haji Noor menampakkan pengaruh secara harmoni,” katanya.
Lebih 400 orang menghadiri majlis itu. Turut hadir Datuk Seri Dr. Rudy Awah, Pembantu Menteri Luar Bandar, Datuk Hendrus Anding, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Maijol Mahap, Pengerusi Perkasa Trading, Datuk Dr. George Sangkin, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kota Marudu, Barlus Mangabis, Ketua Bahagian PGRS N5 Matunggong, Dato’ Webly Disim, Setiausaha Agung Parti Cinta Sabah dan Sulaiman Bakrin, Timbalan Ketua Bahagian N4 Tanjong Kapur serta AJK PGRS Bahagian Tandek.