- Borneo Gazette
- Breaking News
- Apa Sajalah
- Berita Pengakap
- Cerpen
- Biodata
- Hubungi Kami
BIODATA DATO’ DR. HJ. JANATHAN KANDOK
Your Subtitle Here
Diiringi isterinya, Datin Norsiah SM Kumar, Dato' Dr. Haji Janathan Kandok berangkat ke Istana Pahang pada 13 Disember 2012 untuk menerima Darjah Indra Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato'. Darjah kebesaran ini dikurniakan atas jasanya kepada Negara melalui peranan Penjawat Awam, Penulis dan Pemimpin NGO di negara ini.
PERIBADI
63 tahun lalu, Dato' Dr. Janathan Kandok dilahirkan di Kg. Damai, Tandek, Kota Marudu pada 29 Ogos, 1957. Janathan adalah anak yang ke tujuh dalam lapan bersaudara. Ibunya, Andingin bte Alit ialah anak sulong pemimpin masyarakat tempatan sebelum merdeka, iaitu Native Chief Alit bin Uwara. Manakala ayahnya ialah Binbang Kandok.
Janathan dibesarkan dalam keluarga petani. Persekitaran hidup ini melentur hatinya untuk melibatkan diri dalam kegiatan pertanian seawal usia enam tahun, membantu ibu bapanya menanam padi dan menyertai gotong royong bersama dengan pendudukpenduduk kampung mengerjakan sawah atau membersihkan kebun untuk tujuan penanaman kelapa dan jagung. Tidak berhenti setakat itu, sebagai anak petani, Janathan juga kerap menemankan ibunya berjualan hasil pertanian di tamutamu mingguan di kawasan Tandek seperti di Tamu Tandek, Tamu Mosolog, Tamu Talantang dan Tamu Damai.
KELUARGA
Janathan mendirikan rumah tangga dengan Datin Norsiah SM Kumar pada 13 Mac 1982 dan dikurniakan empat orang cahaya mata, iaitu Sofrinah (meninggal ketika dilahirkan), Khairul Farhan, Nabil Alwan dan Atiqah Syasya. Dilahirkan di Bandau, Membakut, Sabah, Norsiah merupakan anak keempat dalam sepuluh orang bersaudara. Seperti juga Ayahnya, seorang pendidik , Norsiah juga adalah seorang Guru. Beliau mendapat Diploma Perguruan di Kent Teacher’s College, Tuaran pada tahun 1980, kemudian melanjutkan pendidikan di Walsh University, USA sehingga mendapat ijazah Sarjana Muda dalam bidang Elementary Education pada tahun 1985.
Khairul Farhan pula mempunyai Diploma dalam Films Making daripada International Academy of Film and Television, Hong Kong, sementara Nabil Alwan adalah lulusan Diploma dalam business studies daripada INTI College, Kota Kinabalu manakala Atiqah Syasya adalah lulusan Bachelor of Mass Communication (PR & Marketing) Taylor’s University, Kuala Lumpur.
PENDIDIKAN DAN KERJAYA
Menurut sumber keluarga, mulanya, Janathan enggan bersekolah namun dua orang abangnya, Masingkan Masampun dan Singki Binbang Kandok berjaya memujuknya. Akur dengan keputusan mereka, Janathan memulakan persekolahan di SRK Tandek, Kota Marudu pada tahun 1967 sehingga tamat Darjah Enam pada tahun 1970, kemudian melanjutkan pendidikan di SMK Kudat pada tahun 1971 sebelum meneruskan lagi persekolahan di Sekolah Menengah Abdullah Munshi pada tahun 1974 sehingga tamat Tingkatan Lima pada tahun 1975.
Dalam usia remaja, iaitu ketika berumur 19 tahun, Janathan mula menjadi Penjawat Awam berpangkat Pegawai Kastam Tingkatan I di Kudat, Sabah pada 19 Oktober, 1976. Bagaimanapun, enam tahun kemudian, iaitu pada tahun 1982, Janathan Kandok mengambil cuti belajar tanpa gaji untuk melanjutkan pendidikan di Walsh University, USA menjejaki abangnya, Datuk Abdul Latiff Kandok dan anak saudaranya, Datuk George Sangkin yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang sains politik di universiti berkenaan.
Berikutan dengan peningkatan akademik, iaitu Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dan Kewangan, beliau dilantik sebagai Penguasa Kastam dalam tahun 1985. Bagaimanapun, sekali lagi beliau melanjutkan pendidikan di luar Negara pada tahun 1993, iaitu di Hull University, England dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Pendidikan, Latihan dan Kejayaan. Dengan kelayakan baru ini, beliau dinaikkan pangkat ke jawatan Penolong Pengarah Kastam dan dalam masa yang sama dilantik sebagai Pengarah Akademi Kastam Diraja Malaysia, Sabah dalam tahun 1994. Dengan kemahiran pereka bentuk modul dan penilaian latihan yang diperolehi daripada universiti tersebut, Janathan diberi tanggungjawab membekalkan pengetahuan, kemahiran dan sikap yang tepat kepada anggota-anggota Kastam di seluruh Negara bagi membolehkan mereka menjadi penjawat awam yang berkesan dalam Jabatan itu.
Sesudah berkhidmat di Akademi tersebut selama tujuh tahun, beliau dinaikkan pangkat lagi sebagai Penolong Kanan Pengarah Kastam Gred W48 dan dipertanggungjawabkan mengetuai Pusat Antarabangsa Kastam di Akademi Kastam Diraja Malaysia, Melaka. Peranan ini telah membawanya ke Mynmar, Laos, Vietnam dan Cambodia untuk urusan latihan Kastam peringkat antarabangsa.
Tahun 2003, Janathan ditukarkan ke Sabah mengetuai Cawangan Operasi dan Siasatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Sabah sebelum ditempatkan ke Cawangan Risikan Kastam Sabah pada tahun 2004.
Tahun 2006, pemajuan kerja beliau menapak lagi ke Penolong Kanan Pengarah Kastam Gred W52, mengetuai kembali Cawangan Operasi dan Siasatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Sabah sebelum dilantik sebagai Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2008. Tiga bulan kemudian Janathan dinaikan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Kastam Gred W54, mengetuai Bahagian Perkhidmatan Teknik Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Sabah.
Kerana minat yang mendalam tentang perolehan pengetahuan maka pada tahun 2008, sekali lagi beliau melanjutkan pendidikan tetapi kali ini dalam negara, iaitu di Universti Malaysia Sabah dan berjaya merangkul Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Seni Kreatif dalam tahun 2011. Fokus kajiannya ialah pandangan dunia, kepekaan, kepercayaan dan unsur pembelajaran orang Kadazandusun.
Akhirnya sesudah berkhidmat dalam Jabatan ini selama 36 tahun maka pada 13 Februari, 2012, Janathan dinaikan ke gred Jawatan Utama Sektor Awam Gred C (JUSA C) dan dalam masa yang sama dilantik sebagai Pengarah Kastam Negeri Sabah yang ke xiii. Dengan pendekatan merakyatkan perkhidmatan Kastam dan tageline pentadbirannya, iaitu menjana ekonomi, memelihara keselamatan rakyat dan melindungi warisan negara, Janathan membawa Jabatan ini lebih mendekati rakyat supaya mereka mudah mendapatkan perkhidmatan Jabatan ini.
KEPIMPINAN
Zaman remaja dan belia Janathan dilingkungi suasana politik. Sungguhpun tidak menganggoti sebarang parti, Janathan terdedah dengan kegiatan kempen pilihanraya. Menyertai ahli keluarganya, terutama sekali Tuan Haji Omar Majun ke ceramah-ceramah politik dalam tahun 1975 telah mempengaruhi Janathan melihat persekitaran melalui kaca mata pemimpin dan seterusnya menjadi penggilap kepada bakat kepemimpinannya yang akhirnya menjadikan Janathan aktivis masyarakat berorientasikan kepimpinan dan kesusteraan sejak berusia 18 tahun, bermula sebagai pengerusi Belia Kampung Damai, Tandek, Kota Marudu (1975), Presiden Kelab Kepimpinan Tandek (1987), Penolong Setiausaha Agung BAHASA (1990), Presiden Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi Kastam Sabah (1989) dan Penolong Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah (2006) dan Presiden Pertubuhan Dusun Islam Sabah, PDIS (2016-2018) , Presiden Pertubuhan Almuni Universti Malaysia Sabah, Pengerusi Majlis Sukan Kastam Sabah (2016), dan Ahli Majlis Penasihat Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Malaysia, Kota Marudu (2016). Terkini Janathan ialah Pengerusi Eksekutif Institut Penilaian Sastera Sabah (INPES), Presiden Pertubuhan Kimaragang Malaysia dan Pengerusi Koperasi Keluarga Andingin Bte Alit Berhad.
Seperti disebut awal tadi, Janathan menjadi Penjawat Awam ketika usia remaja di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, iaitu Jabatan Kerajaan paling tua di Negara ini. Sebagai Jabatan tertua, Jabatan ini adalah matang dalam mengurus organisasi terutamanya tentang budaya korporat. Dipengaruhi budaya korporat Jabatan ini yang mengangkat elemen visi, misi dan nilai organisasi sebagai fokus yang kritikal dalam menentukan kejayaan Jabatan, Janathan memastikan semua organisasi sukarela yang dipimpinnya mempunyai visi, misi dan nilai utama organisasi. Namun, budaya organisasi yang ditetapkan itu bukanlah pendapatnya sendiri memandangkan beliau mengamalkan gaya kepimpinan demokratik yang menggalakan penyertaan dalam membuat keputusan.
Dari segi gaya pemikiran, Janathan adalah seorang yang analitik dan pragmatik . Pemikirannya adalah tetap. Apabila sesuatu perkara ditimbulkan, hal itu disebut berulangkali sama ada dalam mesyuarat, perbualan biasa, ucapan, ceramah atau karya. Bagi memastikan isu-isu berkenaan di atasi, Janathan berpegang kepada falsafah: Awan-awan yang terapung, adalah kekal sebagai awan hitam kecuali turun sebagai hujan membasahi bumi. Maksudnya, sesuatu ide atau permasalahan yang diperkatakan tidak menguntungkan kecuali dioperasikan menjadi realiti. Berpegang kepada pendirian ini, agenda mengurus kegagalan dan mengurus kejayaan tetap termuat dalam Buku Pelan Tindakan Strategik organisasi untuk dijadikan realiti. Pendekatan ini memudahkan Janathan memainkan pelbagai peranan yang kritikal dalam organisasi.
Sungguhpun beliau lebih suka memainkan peranan pemimpin tetapi beliau masih terikat dengan peranan pengurus dan penyelia. Bagaimana beliau berpindah peranan daripada pemimpin kepada pengurus dan daripada pengurus kepada penyelia dapat diketahui dengan mudah. Jika beliau dalam keadaan santai dan lebih banyak bergurau dan memujuk, tahulah kita bahawa beliau memainkan peranan memimpin tetapi jika beliau berterusan mengulangi sesuatu dengan nada tegas maka tahulah kita bahawa beliau memainkan peranan mengurus. Jika beliau lebih menekankan tentang pengetahuan, kemahiran dan sikap maka beliau adalah memainkan peranan penyelia. Peranan “serampang tiga mata ini” memudahkan Janathan mengurus organisasi pada peringkat falsafah, konsep dan teknikal.
PENULISAN
Penulisan banyak mengambil ruang hidup Janathan. Beliau mula menulis sejak di sekolah menengah lagi. Bagaimanapun, bakatnya hanya dapat dikesan dalam tahun 1989 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui cerpennya Mimpi Borubut (Dalam Hizairi Othman 1991)). Janathan mengangkat pelbagai tema dalam karyanya seperti budaya, keluarga, pertanian, perniagaan, perhubungan awam, semangat nasionalisme, nilai kemanusiaan dan politik. Antara cerpen yang dihasilkannya ialah Suatu Keputusan (Daily Express, 1988); Mencari Haluan (Daily Express, 1988); Duta Kecil (Daily Express, 1988); Kaluha (Dalam R.Hamzah Dua 1991) dan Antologi cerpen dalam Pesta Demokrasi (1999) Janathan juga menulis cerita rakyat, iaitu Gimbalui (1990) dan Ambong Jagoan (1996). Janathan juga menceburi bidang kritikan cerpen. Karya-karyanya dalam bidang ini tersiar dalam akhbar tempatan Sabah dan turut termuat dalam Sepasang Sayap Jelita (Hasyuda Abadi, 2004).
Bagi penulisan bukan kreatif, karya beliau ialah Wawasan Tandek (1998); Kejayaan Keluarga Bahagia (1998); Cemerlang Peperiksaan (1998); Intuisi Wakil Rakyat Kastam (2006); Kastam Menuju Ke Hadapan (2007); Model Ekonomi Kastam Sabah (2014).
Beliau juga adalah penulis kolum di surat khabar tempatan, iaitu Kolum Kastam dan Anda di Akhbar Utusan Borneo (2006-2008) dan Kolum Apa Saja lah, di Akhbar Sabah Times (2014-2015). Beliau juga menulis beberapa buah lirik lagu seperti Hari Kastam Sedunia (1990); Seperti Air Yang Terbakar (2009), Kastam Sabah Berjasa ( 2012), Dirgahayu Tuan Yang Terutama (2012), Panji Kinabalu (2014).
Selain menulis bukunya sendiri, beliau juga adalah editor kepada lima buah buku, iaitu Kejayaan ICTR 2006: Tindakan Berstruktur Output Berseni (Editor); Unit Verifikasi Pasca Import—Cabaran, Fokus, dan Strategi ( Editor, 2010); GST—Sistem Percukaian Menguntungkan Rakyat (Editor, 2010); Pematuhan Perundangan Auditan Pasca Import—Tanggungjawab Pelanggan (Editor,2010) dan Pematuhan Perundangan Auditan Syarikat—Tanggungjawab Pelanggan (Editor, 2010).
Di dalam penulisannya, Janathan tidak melupakan tanggungjawabnya terhadap Kota Marudu. Dalam bukunya Wawasan Tandek yang diterbitkan 18 tahun lalu, Janathan yakin jika setiap pemilik tanah mengusahakan tanah secara komersial, Kota Marudu muncul sebagai pengeluar hasil pertanian yang utama. Beliau juga percaya, Koperasi yang disertai semua pemilik tanah di daerah ini adalah enjin ekonomi terbaik untuk membangunkan tanah pertanian di Kota Marudu. Melengkapi strategi ini ialah cadangannya mewujudkan Pelabuhan Kota Marudu seperti yang dinyatakan dalam bukunya, Model Ekonomi Kastam Sabah (2014). Janathan yakin pelabuhan berkenaan akan membawa keuntungan kepada rakyat dan peniaga di daerah ini. Dengan adanya pelabuhan ini, hasil pertanian Kota Marudu dan daerah berhampiran, iaitu Matunggung, Kota Belud, Ranau, Pitas dan Paitan dapat dieksport ke negara berhampiran dengan mudah. Selain daripada itu, barangan keperluan rakyat mudah diperolehi kerana barangan tersebut secara langsung diimport terus daripada luar negara, iaitu bukan seperti sekarang yang barang-barang dipunggah di pelabuhan lain terlebih dahulu sebelum diangkut ke Kota Marudu. Selain daripada itu peluang-peluang pekerjaan bagi penduduk Kota Marudu meningkat dari masa ke semasa.
PENGIKTIRAFAN
Selain pengurniaan darjah kebesaran Negeri oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, iaitu DIMP, Janathan juga dikurniakan darjah kebesaran Negeri Sabah dan Persekutuan, iaitu Ahli Darjah Kinabalu (ADK) tahun 2007, Ahli Memangku Negara (AMN) tahun 2009 dan Pengiktirafan terkini daripada Kerajaan Negeri Sabah ialah perlantikan Janathan sebagai Jaksa Pendamai (JP) dalam tahun 2015.
Sebagai pengiktirafan kepada kegiatan kepenulisannya sejak tahun 1989, Dewan Bahasa dan Pustaka mengambilnya sebagai Penulis Anak Angkat dalam tahun 1990 sebelum memilihnya sebagai Penerima Anugerah Sastera Perdana melalui cerpennya Bawod dalam tahun 2000. Anugerah ini adalah antara pengiktirafan yang berprestij kepada penulis tanah air atas kehalusan seni penulisan yang mencapai taraf nasional.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia juga memberi pengiktirafan kepada Janathan dengan pemberian gelaran Ikon Kastam pada tahun 2015 atas komitmennya menimba ilmu secara berterusan sehingga berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan kejayaan kerjayanya bermula daripada jawatan paling rendah, iaitu Pegawai Kastam Tingkatan I sehinggalah ke Jawatan Utama Sektor Awam Gred C (JUSA C). Selain Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Universiti Malaysia Sabah juga turut mengangkat Janathan sebagai Ikon Alumni University Malaysia Sabah 2015 kategori pemimpin dari aspek sumbangan dan khidmat bakti kepada Alma Mater dan kejayaan dalam kerjaya.
PENUTUP
Rentetan hidup Dato’ Dr. Haji Janathan Kandok adalah menarik. Selain sebagai pegawai tinggi kerajaan yang mempunyai pengalaman selama 41 tahun dalam perkhidmatan awam, beliau juga adalah seorang yang berpendidikan tinggi yang diperolehinya daripada tiga benua, iaitu Amerika, Eropah dan Asia, beliau juga adalah pemimpin sukarelawan dan seorang pemikir yang dapat dikesan daripada pelbagai karyanya dan melangkaui semuanya, Janathan Kandok adalah pemimpin yang berwawasan untuk Kota Marudu dan Negeri Sabah.
BIBLIOGRAFI
Dr. J Customs Icon, The New Sabah Time Page 11, 19 March, 2015.
Hasyuda Abadi, 2004, 2004 Hasyuda Abadi, Sepasang Sayap Jelita, Kota Kinabalu: Institut Penilaian Sastera.
Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Pahang Darul Makmur, rujukan Suk. PHG. Kpp.004(S)/7.41.2.JAD.15 (82) bertarikh 5 Disember, 2012.
Janathan Kandok, Suatu Keputusan (Daily Express, 1988).
Janathan Kandok, Mencari Haluan (Daily Express, 1988).
Janathan Kandok, Duta Kecil (Daily Express, 1988).
Janathan Kandok, Mimpi Borubut, (Dalam Hizairi Othman 1991, Pesan Pada Angin, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Janathan Kandok, Kaluha (DalamR.Hamzah Dua 1991, Tugu di Sebuah Kota,Kuala Lumpur: Oscar Book International.
Janathan Kandok, 1999, Pesta Demokrasi (1999), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Janathan Kandok, 1990, Gimbalui, Kuala Lumpur: Marwillis Publication & Distribution. Janathan Kandok, 1996, Ambong Jagoan, Kota Kinabalu: Kelab Kepimpinan Masyarakat Tandek.
Janathan Kandok, 1998, Wawasan Tandek, Kota Kinabalu: Supreme Focus Sdn Bhd.
Janathan Kandok, 1998, Pembangunan Keluarga Bahagia, Kota Kinabalu: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah.
Janathan Kandok, 1998, Cemerlang Peperiksaan, Kota Kinabalu: Supreme Focus Sdn Bhd.
Janathan Kandok, 2006-2008, Kolum Kastam dan Anda, Kota Kinabalu: Utusan Borneo.
Janathan Kandok, 2006, Intuisi Wakil Rakyat Kastam, Kuala Lumpur: Majlis Sukan, Rekreasi Kastam Diraja Malaysia.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia, 2006, Kejayaan ICTR 2006, Tindakan Berstruktur Output Berseni, (ed), Kuala Lumpur: Kastam Diraja Malaysia.
Janathan Kandok, 2007, Kastam Menuju Ke Hadapan, Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Kastam Malaysia.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Sabah, 2010, Unit Verifikasi Pasca Import—Cabaran, Fokus, dan Strategi (ed), Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Sabah.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Sabah, 2010, GST—Sistem Percukaian Menguntungkan Rakyat (ed), Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Sabah.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Sabah, 2010, Pematuhan Perundangan Auditan Pasca Import—Tanggungjawab Pelanggan (ed), Kota Kinabalu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Sabah.
Janathan Kandok, 2014, (dlm Dewin Tumas, Lagu Patriotik Sabah Di Bawah Bayu), Kota Kinabalu: Pertubuhan Dusun Islam Sabah.
Janathan Kandok, 2014-2015, Kolum Apa Saja Lah, Kota Kinabalu: The New Sabah Times
Janathan Kandok, 2015, Model Ekonomi Kastam Sabah, Kota Kinabalu: Janathan Kandok.
Janathan Kandok dan Low Kok On, 2016, Sundait Warisan Kadazandusun, Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Norjanah Yusof, Jennitah Noordin, 2008, Biografi Penulis Sabah. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Surat Jemputan Ke Majlis Anugerah Hal Ehwal Pelajar & Alumni (MAHEPA) 2015, UMS/ALUMNI 1.4.4/700-3/1/11 (45) bertarikh 6 Mei, 2016.
Dr. Janathan Kehidupan Yang Serba Organik
- Kura-kura, burung, kambing, rakan sepermainan saya sewaktu kecil, katanya.
© 2021 The Voter Post. Hak Cipta Terpelihara