- Borneo Gazette
- Breaking News
- Apa Sajalah
- Berita Pengakap
- Cerpen
- Biodata
- Hubungi Kami
CERPEN
TALI PINGGANG LAMA
© Dato’ Dr. Janathan Kandok
Eman bergegas ke kelas, berhampiran perpustakaan, melihat-lihat ke kiri kanan sebelum menghampiri pintu Kelas Hijau. Pintu masih berkunci, Jerit hatinya. Bagaimana masuk? Soalnya risau. Tidak lama lagi pejar-pelajar akan tiba. Bagaimana? Soalnya lagi. Terpaksa juga masuk, putusnya, menanggalkan cermin jendela satu demi satu.
Tanpa menghiraukan jari manisnya yang berdarah terhiris cermin jendela, Eman terus ke meja lapan berhampiran meja guru. Beberapa buah buku dikeluarkan dari laci. Dengan mata liar, dia mencari-cari sesuatu, sebaik menjumpainya, tergesa-gesa menulis-nulis.
Eman baru sahaja mencapai misinya apabila Jaga tiba-tiba melintasi kelas itu. Eman segera bersembunyi di bawah meja. Derap kaki jelas kedengaran seperti sengaja dihantar-hantar ke telinganya. Tiba-tiba derapan itu hilang mendadak. Bingung samada keluar dari persembunyian atau tidak kerana tidak pasti samada Jaga itu sudah jauh dari kelas itu atau juga sengaja berdiri diam–diam di muka pintu memerangkapnya, Eman memeluk erat-erat buku latihannya.
Sambil mengiggit-giggit hujung pen, dia merenung kosong buku latihan yang terletak di atas lantai buluh. Kelmarin, secara sembunyi-sembunyi Eman merujuk buku teks rakan sekelas yang ditinggalkan di sekolah, dia berjaya menyiapkan kerja rumahnya. Bagaimana menyiapkan kerja rumah hari ini? Soal Eman dalam hati, membetul-betulkan bantal yang menyanggah dadanya sebelum mengambil buku latihan dan membelek-beleknya. Dia tidak sanggup lagi mengulangi perbuatannya mencuri-curi masuk ke kelasnya. Sungguhpun niatnya baik, dia tetap ditangkap jika kedapatan.
Sebelum duduk, dia menggeleng-geleng, melurus-luruskan kaki dan cepat berasa bersalah kerana kaki kirinya mengenai buku latihan itu. Dia mencapai buku itu, meletakkan di dadanya buat beberapa ketika. Setelah menarik nafas panjang, dia bangkit, melangkah perlahan, menghampiri para-para separas hidung, meletakkan buku latihan yang sudah lusuh itu sebelum memadamkan pelita berhampiran dengan para-para itu.
Seperti selalunya, Eman perlu tidur awal. Jika lambat, lambat juga bangun, fikirnya. Malam itu, dia sukar terlelap, asyik teringat janjinya kepada Cikgu Halim: Saya mesti siapkan kerja rumah. Bagaimana menunaikan janji itu jika tidak ada buku teks? Soal Eman dalam hati berulang kali.
“Jika kamu berterusan gagal menyiapkan kerja rumah, kamu akan dipindahkan ke Kelas Merah,” Eman teringat amaran keras Cikgu Halim pagi tadi.
Eman tidak mahu dipindahkan ke Kelas Merah. Dia tahu semua murid di kelas itu tidak sebaik murid Kelas Hijau. Cikgu Halim pernah mengatakan murid- murid di situ kurang berdisiplin, melawan guru dan sering bergaduh. Eman tidak mahu dikatakan murid tidak berdisiplin. Bukankah aku ini Ketua Pengawas SM Tombongon? Ketua Pengawas mesti kekal di Kelas Hijau. Lagi pun, jika bapa tahu saya dipindahkan ke Kelas Merah tentulah dia malu. Anak sulongnya kini tidak lagi berdisiplin? Tidak seperti dahulu terkenal dengan sikap yang terpuji? Tidak lagi menjadi contoh kepada murid-murid SM. Tombongon? Tidak! Jerit hati Eman. Saya Ketua Pengawas, mana boleh dipindahkan sesuka hanya kerana tidak dapat menyiapkan kerja rumah. Saya mesti cari jalan bagaimana mendapatkan buku teks.
Sebelum tertidur, Eman sempat teringat pesanan ibu: “Eman, kalau kamu dapat nombor satu dalam PMR, kamu boleh tinggal di Asrama Penuh, tidak lagi sengsara jalan kaki ke sekolah setiap hari. Di sana ada TV, makanan teratur, ada lampu lektrik. Tidak seperti di pondok ini, serba kekurangan. Belajarlah rajin-rajin. Ibu tahu kamu anak yang baik, patuh kepada kedua ibu bapa tetapi kebaikan sahaja tidak dapat bantu kamu jadi senang dalam hidup jika kamu tidak sekolah tinggi. Lihatlah bapamu, dia baik tapi malangnya tiada sekolah, hidupnya susah, tali pinggangpun tidak mampu beli.”
“Eman, kamu kelihatan sedih betul hari ini. Boleh kasi tahu ibu kenapa kamu susah hati? Soal ibu, membantu menurunkan beg sekolah anak sulongnya itu. Eman tidak terus menjawabnya sebaliknya menuju jendela, melemparkan pandangan sebebasnya. Di kejauhan kelihatan SM Tombongon sebesar kotak macis. Dia merasa-rasa jarinya yang mula berdenyut mengejut- ngejut sakit.
“Kenapa kamu susah hati? Tanya ibu sambil menghampiri Eman.
“Saya takut.” Jawab Eman, kembali merasa-rasa jarinya.
“Takut? Takut apa? Eman apa yang berlaku? Tanya Ibu, semakin risau.
“Takut tidak boleh siapkan kerja rumah.” Jawab Eman, memeluk Ibu.
“Pergilah kamu makan dulu, “ kata ibu, membawa Eman ke dapur.
Selepas melaksanakan tugas-tugas Ketua Pengawas, Eman terus sahaja balik ke pondok di kaki bukit. Dia perlu berbuat demikian kerana mahu membantu bapa di kebun sayur. Kebiasaan itu tidak lagi dapat dilakukan sejak akhir-akhir ini. Dia terpaksa berada di Kelas Hijau selepas waktu sekolah, menyiapkan kerja rumah. Rakan sekelasnya, Romzi sudi meminjamkan buku teks Bahasa Malaysia sebentar, setengah jam sahaja. Romzi juga sanggup menemaninya di kelas itu tetapi malangnya bas sekolah Romzi awal sampai dan terpaksalah Eman menyerahkan buku teks itu kepada Romzi sebelum sempat menyiapkan kerja rumah.
Eman mendapat amaran keras lagi kerana gagal menyiapkan kerja rumah. Eman cuba memujuk bapa supaya meminjam wang jiran. Bapa tidak sanggup sebab masih berhutang dengan jiran itu. Eman tidak mendesak. Dia faham pendirian bapa yang terlalu menjaga maruah keluarga. Apapun yang bakal berlaku, fikir Eman, kerja rumah mesti disiapkan.
Semasa rehat, Eman tidak keluar dari kelas. Inilah masanya dia berkesempatan menggunakan buku teks Romzi tetapi menyiapkan kerja rumah bukannya dapat dilakukan secara tergesa-gesa terutama jika terdapat soalan yang sukar dijawab. Eman sedih kerana gagal menyiapkan kerja rumahnya. Namun, Eman tetap dengan niatnya mahu menyiapkannya. Jika gagal, esok dia akan dipindahkan ke Kelas Merah, sesuatu yang dia sangat takut hadapi.
Sudah tiga kali Ibu memanggil Eman makan. Dia tahu Eman lapar. Sejak kebelakangan ini Eman terlalu awal ke sekolah. Tentulah dia letih dan lapar. Dia tahu Eman ke sekolah dengan perut kosong. Belanja sekolah bukan ada.
“Eman, makanlah nak,” pelawa ibu, menghalau-halau dua tiga ekor lalat yang cuba menghinggap makanan yang baru sahaja dihidangkan. Dengan penuh sopan Eman menghampiri ibu, duduk bersila menghadap makanan sebelum tunduk merenung kosong lantai bambu.
“Makan dulu. Jangan susah hati. Lepas makan barulah bikin kerja rumah.” Ibu memujuk Eman supaya segera makan.
“Pengetua minta bapa ke sekolah,” kata Eman, menguis-nguis lantai dengan jari telunjuk. “ Eman digantung sekolah,” sambungnya, mula tersedu. Ibu berhenti menghalau-halau lalat, menatap wajah anak sulongnya itu sebelum bangkit perlahan. Dia menuju jendela, melemparkan pandangan ke arah SM Tombongon sebentar sebelum memandang Eman yang masih mengesat-ngesat air mata. Menyedari beberapa ekor lalat menghinggapi makanan itu, Ibu tergesa- gesa mengangkatnya dan menyimpannya di dapur, membiarkan Eman yang masih terisak.
“Sudahlah. Jangan menangis. Nanti bapa kamu minta kesin kepada Pengetua,” pujuk ibu, mengusap-usap kepala Eman. “Kesalahan kamu bukan besar, hanya gagal siapkan kerja rumah.”
“Eman bukan digantung sekolah pasal kerja rumah,” kata Eman perlahan, masih tunduk, menguis-nguis lantai.
“Apa sebabnya?” Tanya ibu risau, memegang kedua-dua bahu Eman. Eman semakin sedih, isakannya semakin menjadi.
“Berhentilah menangis, “ pujuk Ibu, mengesat air mata Eman sebelum mengesat air matanya sendiri.
Sebaik sampai di SM Tombongon, Bapa terus menuju ke pejabat Pengetua. Menurut kerani sekolah, Pengetua sedang menunggunya di bilik tatatertib. Sambil berjalan menuju bilik itu yang terletak bersebelahan kantin, Bapa semakin tertanya-tanya kesalahan apalah yang telah dilakukan Eman. Semalam, puas sudah dia bertanya namun Eman tidak mampu memberitahu. Eman lebih banyak menangis dan hanya mengatakan berulang kali SM Tombongon tidak berlaku adil terhadap dirinya.
Berada di bilik itu menunggunya, dua puluh orang guru termasuk Pengetua. Eman sampai lebih awal dari Bapa. Sungguhpun digantung sekolah, dia datang juga seperti selalu, mengawasi pengawas-pengawas menjalankan tugas. Menurutnya, dia hanya digantung sekolah tetapi tidak digantung jawatan Ketua Pengawas. Ini mewajarkannya tetap menjalankan kewajiban membantu sekolah mengawasi tingkah laku murid-murid yang bertentangan dengan peraturan sekolah. Awal pagi tadi, dia sempat mencatat beberapa nama pelajar yang lambat ke sekolah dan menyerahkan kepada Guru Disiplin.
“Masuklah Encik Lingkuwad,” pelawa Pengetua. Lingkuwad duduk bersebelahan dengan Eman, tidak jauh dari guru disiplin dan Pengetua. Lingkuwad dapat merasakan semua mata memandang Eman dan dirinya, mula berasa lambat benar Pengetua memaklumkan kesalahan anaknya.
“Apa salah anak saya?” Tanya Lingkuwad, perlahan sambil memandang Eman yang kelihatan tenang. Pengetua menanggalkan cermin mata, mengiggit- giggit tangkainya sebentar sebelum membaca pertuduhan dan hukuman yang telah dijatuhkan kepada Eman.
“Eman bin Lingkuwad, murid Kelas Hijau telah didapati menyimpan buku teks sejarah tanpa kebenaran pemiliknya, Rahmat Yakob pada 29.8.2000 lebih kurang jam 6.30 pagi. Guru Disiplin mendapati buku itu berada dalam beg sekolah Eman semasa memasuki kawasan sekolah ini pada tarikh dan waktu yang tersebut di atas. Jawatankuasa Disiplin Murid telah memutuskan bahawa Eman bin Lingkuwad dibuang sekolah kerana didapati mencuri, satu kesalahan besar menurut perkara 5 perlembagaan sekolah ini. Sebagai bapa, kami memanggil Encik Lingkuwad untuk memaklumkan secara rasmi kedudukan Eman dalam sekolah ini. “ Lingkuwad memandang semua yang berada dalam bilik itu sebelum tunduk sebentar, menarik nafas panjang sebelum memandang Eman dengan sedih.
“Bapa malu, malu betul. Kita tiada apa-apa dalam dunia ini melainkan maruah saja. Kini maruh itu sudah tiada lagi, sudah hilang tidak boleh dikembalikan lagi. Kenapa anak aku mencuri?” Tanya Lingkuwad kepada Eman. Lingkuwad berdiri dan menolak-nolak kepala Eman perlahan sambil bercakap-cakap geram dalam bahasa Dusun sebelum memukul-mukul dadanya sendiri melepaskan kemarahan.
Eman Tunduk lama sebelum mengangkat muka, menyoroti ahli-ahli Jawatankuasa Disiplin satu demi satu.
“Saya bukan curi, saya hanya pinjam buku si Rahmat,” kata Eman perlahan.
“Siapa Rahmat ?” Tanya Pengetua, membesarkan mata.
“Rahmat bin Yakob.” Jawab Eman, memandang Pengetua sebelum tunduk semula kemudian memandang Pengetua dengan ekor mata, tertanya- tanya dalam hati: Mengapa Pengetua bertanya tentang Rahmat? Bukankah sebentar tadi dia menyebut nama itu ketika membacakan hukuman yang dikenakan kepadanya?
“Siapa budak itu ?” Tanya Pengetua kepada Guru Disiplin yang sudah bersedia hendak bercakap sesuatu.
“Rahmat yang tinggal di kampung Togob itu. Bapanya, Yakob, yang marah-marah kepada sekolah ini sebab Pengetua mendesak mahu melihat kad pengenalan yang sebenar. Dia marah-marah sebab kita meragui kad pengenalannya.”
“Siapa itu, saya tidak ingat lagi, “ kata Pengetua separuh berbisik.
“Yang tidak begitu fasih bertutur Melayu. Sukar kita faham Melayunya, campur-campur inggeris, inggerisnyapun susah difahami. Ramai murid kita disini yang ibu bapanya begitu,” kata Guru Disiplin.
“Apa mereka semua marah-marah?”
“Bukan, tidak begitu pandai cakap Melayu.” “Ramai, berapa?”
“10%.” Jawab Guru Disiplin ringas, memandang Eman yang sudah tidak sabar menyambung cakapnya.
“Saya tidak curi. Saya cuma pinjam. Buku itu ditinggalkan di Sekolah, jadi saya fikir, tidak salah kalau saya pinjam ketika pemiliknya tidak menggunakannya. Saya cuba meminjam tetapi rakan-rakan sekelas juga memerlukan buku teks itu pada masa yang sama. Hari itu, saya menyedari buku teks itu sengaja ditinggalkan Rahmat, sebab itu saya ambil. Mungkin ada yang tertanya-tanya, mengapa tidak meminjam dari Si Rahmat? Saya Ketua Pengawas yang menguatkuasakan peraturan-peraturan sekolah tentulah tidak ramai yang menyukai saya, termasuk Rahmat. Mana mungkin dia sudi meminjamkan buku teksnya kepada saya?”
“Saya sedar saya buat salah besar. Tapi apa boleh buat saya mahu siapkan kerja rumah. Saya tiada buku teks. Macam-macam sudah usaha saya, tapi tidak berjaya. Saya mahu lulus PMR dengan cemerlang. Sekarang saya di Kelas Merah. Saya mahu kekal di Kelas Hijau, supaya lulus cemerlang. Guru- guru di Kelas Merah itu selalu tidak datang kelas, ada juga yang lambat datang, pergi sembahyang lama betul hampir setengah jam.” Kata Eman perlahan, 9 memandang bapanya yang sudah surut kemarahannya tetapi tetap tunduk, enggan memandang sesiapa pun di dalam bilik itu.
“Marilah pulang. Tidak perlu cakap lagi. Sudah lah. Dulupun bapa datang ke sini minta kesian, dapatkan buku perintah tapi tiada siapa boleh tolong kita. Nasib kita malang, penduduk tempatan tapi tiada kad pengenalan. Kita juga yang bodoh, tidak tahu, apa-apa. Salah orang tua-tua, tiada surat beranak. Akibatnya, susah dapat kad pengenalan. Perintah tidak percaya kita orang sini... marilah kita pulang.” Tiba-tiba Lingkuwad bersuara, mengejutkan Pengetua yang sejak tadi memandang kosong sambil mata terkebil-kebil.
“Tidak pak. Saya tidak mahu pulang. Tanah ini milik kita. Tanah sepuluh ekar ini kita punya, orang rampas hak kita, dijadikan tapak sekolah.” Kata Eman kepada bapa.
“Siapa percaya tanah ini kita punya? Bukan ada geran,” kata Lingkuwad, memandang Pengetua.
“Tidak peduli, kata nenek, kaum keluarga kita lama tinggal di sini, berpuluh tahun. Bapa sudah lupa, di sinilah kuburan datuk kita, di bawah lantai sekolah ini. Bapa bilang, dulu bapa pernah minta kesian pindahkan kubur datuk, tapi orang tidak percaya, sebab kuburan datuk tiada tanda...tiada orang peduli cakap bapa.”
“Sudahlah mari kita pulang.”
“Tidak. Ini tanah kita, sekolah ini, semua orang di sini hanya menumpang. Kita yang tuan. Dulu bapa bilang YB. Tongor janji namakan sekolah ini SM Gabang, sempena nama datuk. Tapi semuanya janji palsu. Dulu dia bilang, hanya anak-anak tempatan sahaja diberi keutamaan masuk sekolah ini, berkerja di sekolah ini, jadi tukang kebun, jaga, jadi guru tapi sekarang penduduk tempatan dilupakan. Lihatlah, semua orang luar menguasai sekolah ini.”
“Sudahlah mari kita pulang...” Lingkuwad memujuk.
“Tidak mengapa ada orang luar di sini jika hati bagus, ini tidak, penduduk tempatan sengaja diabaikan. Kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan. Saya Ketua Pengawas di sini. Saya tahu banyak hal. Mana itu Tabung Amanah Sekolah? Kenapa tidak yang berani bantu saya? Saya orang miskin, tidak mampu beli buku teks. Apa guna itu Tabung Amanah Sekolah?”
“Sudahlah, kita ini timun”
“Apa timun? Sekarang ada timun ada duri, kulit keras, durian pun kalah.”
“Sudahlah, kita cari sekolah lain sahaja.”
“Tidak. Ini sekolah saya, saya Ketua Pengawas di sini. Bapa pulanglah, saya tetap belajar di sini. Bapa jangan malu, saya tidak buat apa-apa salah di sini. Maruah bapa masih terjaga. Bapa pulanglah. Kasih tahu ibu, saya tidak buat salah. Orang yang fikir saya salah. Tapi saya tidak salah. Tuhan tahu, saya cakap betul.”
Lingkuwad menarik tangan Eman. Eman berkeras. Berasa malu anaknya enggan mematuhi kehendaknya, Dia menarik tangan Eman lagi. Eman masih berkeras tetapi apabila Lingkuwad mula terisak, Eman berdiri dan segera mencium tangannya minta maaf. Ketika Lingkuwad tunduk mengambil songkok lusuhnya yang terjatuh, tali pinggangnya terputus serentak melorotkan kain sarungnya yang berpetak-petak itu ke bawah, menampakkan apa-apa yang di bawah pusat orang tua berusia tujuh puluhan itu.
Mungkin kerana bingung, Lingkuwad tidak sedar kainnya terlorot, terus melangkah menuju pintu. Eman mengejar bapanya, cuba melindung-lindungi dengan badannya. Masih tidak sedar dirinya tidak bersarung lagi, Lingkuwad berpatah balik mahu bercakap sesuatu kepada Eman tetapi terhenti apabila terlihat sarungnya berada di atas lantai. Eman dan Lingkuwad bingung seketika, tidak tahu apa mahu dilakukan. Eman segera mengambil sarung lusuh itu dan dengan muka merah cuba menutup-nutup badan bapanya. Pada ketika ini kesedihan Eman memuncak. Dia Menangis terlolong-lolong sambil membetul- betulkan sarung bapanya.
“Pergi kamu di sini. Pergi. Apa kamu tengok? Pergi. Pergiiiiiiii,” jerit Eman. Air matanya semakin lebat kerana cepat merasa bersalah dengan apa yang dijeritkan sebentar tadi. Dia mengesat-ngesat air matnya, terlupa memegang ketat-ketat kain sarung bapanya. Kini sarung bapa tua itu terjatuh lagi. Yang perempuan cepat mengalihkan pandangan. Yang lelaki, tunduk malu memandang lantai. Pengetua bingung mencari sesuatu, sebelum dapat mencapai bendera Negeri Sabah yang terletak tidak jauh tempat duduknya. Dia melilit-lilitkan bendera itu pada tubuh Lingkuwad sebelum mendudukkanya di kerusi empuk Pengetua.
Entah siapa yang tertekan punat casset player yang terletak di sudut kiri bilik itu yang menyebabkan dengan tiba-tiba sahaja lagu Sabah Tanah Airku berkumandang. Guru-guru yang memang sedang berdiri, 20 orang semuanya,terus sahaja mengatur diri menghormati lagu itu, manakala bapa terkebil-kebil dalam balutan bendera Negeri Sabah. Bapa berasa dipermainkan. Dia sangat marah tetapi kemarahan itu disimpan dalam hati. Penglihatannya berpinar-pinar, berpusing-pusing sebelum pingsan. Dia segera diusung ke kereta Pengetua. Murid-murid dan Guru-Guru SM Tombongon berbaris secara spontan entah siap yang dihormati bendera Negeri sabah atau orang yang dalam bungkusan bendera itu. Eman menemani bapa sambil terisak tetapi kelihatan terlalu dewasa perlakuannya. Ketika dalam perjalanan ke hospital, Pengetua sempat berbisik, “Eman, engkau dapat apa yang engkau kehendaki. Besok, masuklah ke kelas Hijau dan jangan susah hati tentang buku-buku teks.”
“Terima kasih Tuan Pengetua,” jawab Eman ringkas, memandang kosong Pengetua sebelum merenung sedih bapa yang masih tidak sedarkan diri. Sesudah kejadian begini, sukar bagi saya menerima tawaran itu, tapi saya terpaksa menerima. Saya akan ke kelas Hijau dan mengambil buku-buku teks itu nanti tetapi bukan kerana arahan Pengetua. Saya akan melakukannya atas nama hak. Bukan kerana cakap Pengetua. Orang tidak tahu betapa besarnya harapan bapa supaya saya lulus cemerlang dalam PMR. Saya berani buat apa sahaja untuk mencapai impian bapa, kata Eman dalam hati.
Lambat benar kereta ini bergerak, fikir Eman. Bapa masih lagi belum sedar. Dia perlu dirawat segera. Entah apa sakit bapa. Mudah-mudahan cepat sembuh. Eman merasa-rasa dahi bapa, terkejut apabila melihat wajahnya terlalu pucat. Eman merasa-rasa nadi bapa beberapakali sebelum menangis meraung- raung.
“Bapa sudah pergi, Tapi pak, bapa pergi secara terhormat. Lihatlah bapa mati sebagai negarawan. sungguhpun bapa hanyalah orang kampung yang tidak punya apa-apa. Lihatlah pak, 20 buah kereta mengiring bapa. Dulu bapa masih hidup, susah naik kereta. Kini bapa meninggal, senang saja bapa dapat kereta.” Kata Eman di antara tangisannya.
“Tuan Pengetua, Tolong berhenti, turunkanlah bapa di sini. Buat apa ke hospital, dia sudah pergi. Biarlah saya bawa dia pulang, ke pondok kami di kaki bukit, “ kata Eman perlahan, mengusap-ngusap dahi bapa.
Kereta pacuan empat roda berwarna hitam itu berhenti mendadak. Pengetua tergesa-gesa keluar, masuk semula ke dalam kereta di bahagian belakang, merasa-rasa nadi bapa beberapa kali sebelum menggeleng-geleng kecewa.
“Bapa, marilah kita pulang,” kata Eman, memeluk bapanya, “Ibu sedang menunggu kita,” sambungnya sedih, memandang pondok sebesar kotak macis di kaki bukit, menangis lagi kerana kesedihannya bertambah apabila teringatkan kata-kata ibu tentang bapa: Tali pinggangpun tidak mampu beli!
© 2021 The Voter Post. Hak Cipta Terpelihara