Bian Republic, 14 September, 2024: Penyertaan wanita dalam politik mampu majukan masyarakat. Demikian dinyatakan Jeson Majimal, Timbalan Ketua Bahagian PGRS Tandek ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Bahagian Pergerakan Wanita PGRS Tandek di Bian Republic, Simpang Tiga Damai.
Menurut Jeson, peranan Wanita dalam politik adalah satu langkah penting ke arah kemajuan N. 7 Tandek.
“Wanita merupakan tunjang keutuhan dalam masyarakat kita, dan peranan mereka dalam politik adalah satu langkah penting ke arah kemajuan N. 7 Tandek,” kata Jeson.
Kata Jeson, keterlibatan wanita dalam politik bukan sahaja memberikan perspektif yang berbeza tetapi juga memperkukuhkan keputusan yang diambil melalui kepelbagaian pandangan.
Katanya lagi, dalam negara ini wanita telah membuktikan kemampuan mereka dalam memimpin, merancang, dan melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
“Kita telah melihat ramai tokoh wanita yang berjaya menginspirasi dan membawa perubahan positif dalam masyarakat di negara ini,” Kata Jeson.
Menurut Jeson, adalah penting untuk terus menyokong dan menggalakkan lebih ramai wanita terlibat dalam politik di N. 7 Tandek. Penyertaan wanita dalam politik bukan hanya soal meramaikan wanita dalam sistem informasi ahli parti sebaliknya mengharapkan wanita Tandek mampu menghasilkan perubahan yang memberi kesan positif kepada taraf hidup rakyat, yang juga turut memberi kesan kepada pendidikan, kesihatan, dan kesejahteraan keluarga.