Penduduk Kawasan Tanah Pertanian Kg Mamagun Wajar Diberi Hak Pemilihan Tanah Anak Negeri – Gundohing Edward Kandok





KENINGAU: Kawasan tanah pertanian di Kampung Mamagun di DUN Sook yang diusahakan oleh penduduk kampung sejak 1940 wajar dikeluarkan daripada tanah kerajaan.


Bekas Pemimpin Kemajuan Masyarakat Sook Gundohing Edward Kandok berpendapat sudah tiba masanya kerajaan memberikan hak pemilihan tanah Anak Negeri (NT) kepada penduduk kampung di situ yang sudah sekian lama mengusahakan kawasan tanah pertanian itu.


Beliau turut membangkitkan isu pengambilan tanah oleh Yayasan Sabah di Kampung Bonor, Dalit, Kg Sanang dan beberapa kampung yang lain.


“Sepatutnya tanah tersebut diberikan hak pemilikan kepada penduduk yang berhampiran dan Yayasan Sabah boleh menerokai kawasan tanah yang bersempadan dengan sempadan wilayah Kalimantan, Indonesia yang berpotensi untuk dimajukan pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Edward berkata di kawasan daerah lain, DUN Sook tidak terkecuali daripada berdepan masalah bekalan air.


“Sejak kebelakangan ini masalah air yang kerap terputus bekalannya disebabkan benteng pecah pada intake utama waterpump Jabatan air, dan ini bermakna terdapat keperluan supaya jabatan air membina benteng yang dimaksudkan dengan bahan yg kukuh dan kuat,” katanya.


Menurutnya ketiadaan bekalan air itu telah menyebabkan Sekolah Menengah Sook dan SK Pekan Sook terpaksa ditutup yang mana gangguan bekalan air itu berlarutan hingga empat hari lamanya.


Sehubungan itu, Edward berharap kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani masalah air itu demi kebaikan para pelajar dan penduduk kampung terbabit.


Dipetik daripada: https://jesseltontimes.com/2024/11/09/penduduk-kawasan-tanah-pertanian-kg-mamagun-wajar-diberi-hak-pemilihan-tanah-anak-negeri-gundohing-edward-kandok/