ONEH GIGIH LESTARIKAN KIMARAGANG



17 October, 2021



Kota Marudu: Memanggil dirinya Bobolian Moden, Oneh Latifah Osman gigih memperkenalkan budaya Kimaragang dalam pelbagai cara.


Menceritakan kegiatan Oneh kepada wartawan The Voter Post hari ini, Datin Justina Tuyundo, berkata Oneh melestarikan budaya Kimaragang melalui lagu.


“Oneh sanggup keluar duit sendiri buat CD. Bukan itu saja, dia juga nyanyi lagu-lagu rakyat dalam persembahan-persembahan di pelbagai tempat,” katanya.


Menurut Justina, Oneh juga menerbitkan buku tentang sastera rakyat Kimaragang.


“Selain buat CD, Oneh terbit buku juga. Itupun duit sendiri. Jumlahnya tidaklah banyak tetapi cukup bermakna popularkan Kimaragang,” katanya.





Oneh Latifah Osman



Oneh juga sering memakai baju tradisi Kimaragang ketika melakukan persembahan seperti dalam majlis deklamasi puisi dan menyanyikan lagu rakyat.


“Apabila Oneh pakai Lapoi dan dolundung, penonton terasa adanya semangat budaya Kimaragang, malahan setakat dia memakai baju warna hitam sudah cukup kuat mengaitkan dengan budaya Kimaragang,” kata Justina.