NEGARA-NEGARA MALAYSIA





Janggal bunyinya—Negara-negara Malaysia—tetapi jika selalu disebut, lama-lama terbiasa juga. Macam juga Sarawak. Bila perkenalkan Premier, janggal juga tetapi kini ramai fikir itulah yang ngam.


Terutama yang faham tentang sejarah penubuhan Malaysia, Sabah wajar juga ada sebutan baru Ketua Menteri. Atau ikut saja Sarawak. Priemier Sarawak, Premier Sabah bunyinya seragam, sedap pada pendengaran. Melebih segalanya, menepati status Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara.


Menyebut-nyebut hal ini, teringat saya buku karya Daniel Jebon Janaun bertajuk Sabah Sebuah Negara. Buku ini sarat dengan justifikasi yang Sabah adalah sebuah Negara. Dan tidak mengapa gelaran jawatan Ketua Menteri Sabah menampakkan Sabah sebenarnya sebuah Negara yang mungkin ada currency sendiri.


Dulu, saya di Cina bingung ada dua jenis currency. Saya fikir saya kena tipu tetapi sesudah bertanya di sana sini tahulah saya currency itu yang ukurannya jauh lebih kecil daripada currency nasional Cina adalah local currency.


Terlanjur cakap begini, wajar sentuh juga kawalan sempadan negeri ini. MA63 bilang, Sabah ada kuasa mutlak kawalan sempadan. Pegawai-pegawai imigeresen pengharapan kita kawal sempadan tanpa melupakan Kastam dan Kesihatan dan polis di CIQS.


Kalau ikut hati, saya mahu lebih banyak CIQS. Alasan, semakin banyak pintu masuk yang dikawal pihak berkuasa semakin terkawal pergerakan manusia dan barangan. Dan lebih penting lagi, perdagangan lintas sempadan teratur mengikut piawaian antarabangsa. Dan sebaiknya, Tandek ada CIQS. Buka sempadan negara—Palawan-Tandek.


Biar perdagangan lintas sempadan mengambil tempat di Teluk Marudu. Biar ekonomi lintas sempadan terbangun. Sama macam yang ada di Semporna, Tawau, Lahad Datu. Biar Tandek kenyang. Biar lebih ramai middle class terlahir dan mensedikitkan lower class. Supaya peladang berskala besar bertambah dari tahun ke tahun. Mendapat pengiktirafan peladang berjaya bertaraf lintas sempadan.


Kalau ada masa, tengok peta sabah. Bahagian utara sabah nampak macam kepala serigala dan lebih menarik Teluk Marudu macam mulutnya. Kalau begitu biar Tandek kenyang ekonomi. Kita bukalah sempadan negara supaya perdagangan lintas sempadan wujud melalui mulut serigala yang terletak di Teluk Marudu—Tandek. Jika ini ada, Tandek rasa betul-betul Sabah negara dalam Malaysia.