Pekan Tandek, 14 November 2024: Majawab Masantun menyeru orang ramai menyertai Gotong Royong Perdana 2024 Kota Marudu.
Bercakap dalam Mesyuarat Gotong Royong Perdana Kota Marudu pagi ini, Majawab, Penyelaras Program Gotong Royong Block E Pekan Tandek, berkata orang ramai khususnya mereka yang berkepentingan di Pekan Tandek diminta menyertai gotong royong perdana berkenaan yang akan diadakan pada 24 November 2024 bermula jam 8 pagi.
Menurut Majawab yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tandek, gotong royong tersebut akan diadakan di Pekan Tandek, sekitar 30 KM dari Pekan Kota Marudu.
“Kita akan mengadakan gotong royong di Blok kedai SEDCO Pekan Tandek, Blok Klinik Kesihatan, Blok Dewan KBSS, Blok UPPM dan Sawit Kinabalu, Blok SMK Tandek dan Blok Kg. Tandek,” kata Majawab.
Kegiatan gotong royong tersebut adalah pembersihan Parit dan Longkang, kompaun dan perkarangan kedai, pemotongan rumput kawasan sekitar kedai dan kompaun jalan, pembersihan barang-barang usang, sampah-sarap, sisa binaan, mencantas pokok kayu tua yang berbahaya dan berisiko tumbang serta memacak papan-papan tanda Larangan Pembuangan Sampah di semua zon berkaitan.
Selain Pekan Tandek, Gotong Royong juga akan dilakukan di Pekan Bandau, Pekan Goshen, Pekan Lama dan Pekan Langkon.
Gotong Royong Perdana itu dianjurkan Pejabat Daerah Kota Marudu dan Majlis Daerah Kota Marudu dengan kerjasama Adun Tandek dan Ahli Parlimen Kota Marudu, UPPM serta semua Jabatan Kerjaan Negeri dan Persekutuan, NGO, Parti Politik, syarikat swasta, pemimpin-pemimpin komuniti, pelajar sekolah serta masyarakat setempat.
Sementara itu, Gotong Royong Perdana yang julung kali diadakan secara besar-besaran di Kota Marudu mendapat pujian daripada seorang pemimpin tempatan Tandek.
Menurut Dato’ Dr. Janathan Kandok, Presiden PERKOM (Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Kota Marudu), gotong royong ini memberi ruang kepada masyarakat sivil menunaikan tanggungjawab menjaga kebersihan dan keselesaan orang ramai yang mengunjungi pekan-pekan di daerah Kota Marudu.
“Masalah utama pekan atau bandar di seluruh dunia ialah sampah sarap. Mujurlah ada keinginan pihak berkuasa tempatan jadikan pekan-pekan di tempat kita bersih. Ini sesuai dilakukan untuk cegah banjir kilat,” kata Dr. Janathan yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tandek.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut Elui Majingkin (Ketua Daerah), Albert Simbir (Wakil Star Tandek ), James Jibi (Wakil UPKO Tandek ), Jude Maxwell Mungkit (Ketua Penerangan Pemuda PGRS Tandek), Norainah Selamat (Pergerakan Wanita PGRS Tandek)