Kota Marudu, 19 November 2024: Skim Pemeriksaan Kesihatan Percuma Rakyat Sabah adalah keprihatinan Kerajaan kepada rakyat supaya masyarakat sihat dan sejahtera.
Demikian dinyatakan Dato’ Redonah Bahanda, Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah ketika melancarkan program Skim Pemeriksaan Kesihatan tersebut di Walai Tobilung sekitar 20 KM dari Pekan Kota Marudu.
Menurut Redonah, skim pemeriksaan Kesihatan percuma ini adalah usaha kerajaan untuk memartabatkan kesihatan rakyat. Sehubungan itu, katanya, pemeriksan Kesihatan perlu di buat setahun sekali. “Walaupun kita merasa sihat, pemeriksaan Kesihatan perlu dilakukan. Mencegah lebih baik daripada merawat,” katanya yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri.
Menurutnya lagi, jika penyakit dapat dikesan lebih awal maka rawatan dapat dilakukan sebelum penyakit itu menjadi teruk.
Program Kesihatan ini memberi peluang kepada penduduk-penduduk kampung yang jauh untuk mendapatkan pemeriksaan secara percuma tanpa perlu bersusah payah pergi ke hospital atau klinik.
Dalam majlis tersebut, Jualan Rahmah telah diadakan untuk memberi peluang kepada rakyat untuk berbelanja dengan harga yang murah , iaitu dengan potongan harga 30%.
Terdahulu dalam ucapannya, Meirin Sugara, Pegawai Daerah Kota Marudu memalumkan bahawa program Skim Pemeriksaan Kesihatan Percuma Rakyat Sabah dianjurkan Syarikat Borneo Sinarmas Sdn.Bhd yang telah dilantik oleh Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat sebagai pelaksana bagi program Skim Pemeriksaan Kesihatan ini di seluruh Sabah.
Menurut Meirin, program ini mensasarkan golongan B40 yang berumur 40 tahun ke atas dan penerima bantuan sara hidup serta mereka yang masih aktif mencarum PERKESO untuk mengesan awal penyakit tidak berjangkit.
“Objektif utama program pemeriksaan kesihatan ini ialah untuk mengesan awal penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi, kanser dan risiko penyakit jantung,” katanya.
Majlis tersebut dihadiri sekitar 200 orang dan turut hadir ialah Jayne Viola Stephen Wakil Ketua Pegawai Eksekutif, Syarikat Borneo Sinarmas Sdn. Bhd, wakil Takaful BorneoMed, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Jabatan Hal Ehwal Wanita, Agensi Anti-Dadah Kebangsaan, Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional, KPDN dan Hospital Kota Marudu.