Kota Kinabalu 10 Oktober 2024: Parti Gagasan Rakyat Sabah muncul secara berwibawa di hadapan rakyat Sabah, kata Dato’ Dr. Janathan Kandok.
Bercakap sempena Perhimpunan Agung Tahunan Gagasan Rakyat hari ini di Kota Kinabalu, pemimpin Gagasan Rakyat Tandek itu berkata Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Presiden Gagasan Rakyat berjaya menampilkan parti itu sebagai pemimpin pemajuan Negeri Sabah di hadapan rakyat.
“DSP Hajiji, dalam sakit-sakit, kena Covid satu minggu lepas jadi CM, masuk hospital dan kena kuarantin hampir dua bulan, DSP Hajiji berjaya fikir idea besar majukan Sabah, iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” kata Janathan.
Menurut Janathan, Hala Tuju Sabah Maju Jaya adalah gandingan kepada usaha berterusan menuntut MA63 yang diperjuangkan Gagasan Rakyat.
“Sementera tunggu hasil tuntutan MA63, Gagasan yang menjadi tonggak GRS perlu juga agenda besar sebagai pelengkap. Sementara 4 MP Gagasan bermatian tuntut MA63 di Dewan Rakyat, 26 Adun Gagasan bersama penjawat awam komited dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya untuk membangunkan Negeri Sabah,” kata Janathan.
Hala Tuju Sabah Maju Jaya berfungsi sebagai panduan hala tuju dasar dan program kerajaan, seterusnya memandu arah pelaksanaan secara terancang dan strategik untuk mencapai sasaran dan matlamat yang bertepatan dengan keperluan pembangunan Negeri.
Hala Tuju Sabah Maju Jaya dilaksanakan berpaksikan kepada tiga teras utama, iaitu sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan sebagai fokus pertumbuhan ekonomi, modal insan dan kelestarian rakyat, jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.