
KOTA KINABALU: Rakyat Sabah perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) Plus pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Sekiranya rakyat ingin melihat kesinambungan program-program pembangunan dan ekonomi terus dilaksanakan maka, berilah sokongan kepada kerajaan sekarang untuk terus memerintah.
Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Yee Moh Chai berkata, kemenangan GRS dan rakan kongsinya PH pada PRN akan datang adalah kemenangan untuk rakyat.
Beliau yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri berkata, beliau yakin penyokong di peringkat akar umbi akan berpihak kepada gabungan parti pemerintah kerana rakyat menyedari apa yang telah dilakukan sepanjang pemerintahan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sejak 2020.
Katanya, Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) antara salah satu inisiatif yang akan membawa Sabah ke tahap yang lebih tinggi.
Baru-baru ini, Ketua Menteri sendiri menyatakan inisiatif SMJ yang selari dengan konsep Malaysia Madani akan membantu memastikan negara ini terus berkembang dan dihormati di peringkat global.
Menerusi inisiatif SMJ, Sabah komited untuk memacu pertumbuhan dengan memberi penekanan kepada tiga sektor utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.
Dr Yee berkata, pelaksanaan Projek Hidroelektrik Ulu Padas antara komitmen kerajaan dalam menangani masalah kekurangan bekalan air dan elektrik di Sabah.
“Siapa yang mengatakan kerajaan gagal melakukan sesuatu dalam menangani masalah air dan elektrik. Apabila projek mega ini siap pada akhir 2030, ia akan memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah.
“Projek hidroelektrik ini mencerminkan komitmen sebenar Ketua Menteri dan pentadbirannya dalam mencari kaedah penyelesaian jangka panjang. Usaha menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan dalam sekelip mata,” tegasnya.
Dr Yee berkata, serangan berterusan terhadap GRS mengenai isu-isu legasi jelas menunjukkan kebencian mendalam pihak pembangkang yang bertekad untuk menggulingkan kerajaan sedia ada pada PRN akan datang.
Jelasnya, kenyataan Ketua Penerangan Warisan Kota Kinabalu, Samuel Wong baru-baru ini membangkitkan semula isu air dengan mendakwa kerajaan GRS-PH Plus gagal menyediakan pelan hala tuju jelas dalam menangani krisis air adalah tidak benar.
“Ketua Menteri adalah seorang pemimpin berintegriti dan di bawah kepimpinannya, Sabah telah mengalami kemajuan ekonomi yang sangat baik. Jika dilihat prestasi kerajaan GRS-PH Plus cukup luar biasa,” katanya.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api itu turut mengingatkan pengundi Sabah agar tidak mempercayai dakwaan tidak berasas yang dilemparkan oleh pembangkang.
Jelasnya, kerajaan sedia ada perlu sentiasa mendekati anak muda agar mereka akan terus bersama-sama dengan kerajaan sedia ada.
“Kita memerlukan gabungan antara yang lama dan muda… golongan berpengalaman mempunyai kebijaksanaan manakala, anak muda mempunyai tenaga serta masa yang cukup untuk belajar selok-belok pentadbiran," katanya.
Mengulas lanjut katanya, rakyat Sabah tidak harus memberi ruang kepada pemimpin yang asyik melemparkan fitnah terhadap kerajaan. Jangan beri ruang kepada politik fitnah jika tidak ingin melihat pembangunan di negeri ini terancam.
Ketika ini, Sabah berada dalam tangan yang selamat maka, jangan ganggu kestabilan politik yang boleh membawa pembangunan dan kemajuan kepada negeri ini.
Source:
Comments